TOSRIN Jarvanthi pada sidang media program pra perasmian ‘End Year Of Zakat’ di Pusat Islam Iskandar Johor. FOTO BERNAMA
TOSRIN Jarvanthi pada sidang media program pra perasmian ‘End Year Of Zakat’ di Pusat Islam Iskandar Johor. FOTO BERNAMA
Omar Ahmad

Johor Bahru : Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM7.9 juta kepada asnaf dan golongan yang terjejas akibat wabak pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata Januari sehingga Oktober lalu, sebanyak RM216 juta dana zakat berjaya dikutip berbanding sasaran yang ditetapkan bernilai RM285 juta.

Menurutnya, daripada jumlah RM216 juta itu, agihan dilaksanakan untuk memenuhi keperluan lapan golongan asnaf sebanyak RM211 juta.

"Penerima tertinggi setakat ini adalah asnaf miskin sebanyak RM83 juta diikuti fakir RM52 juta. Manakala asnaf riqab disalurkan antara lain kepada mereka yang dalam kesusahan dan kecemasan berjumlah RM22 juta.

"Sejak 18 Mac lalu, MAINJ memperuntukkan RM7.9 juta kepada asnaf antaranya sebanyak RM684,000 diberikan kepada 600 pesakit yang disahkan positif Covid-19 termasuk RM1,000 untuk 20 isi rumah atau waris pesakit yang meninggal dunia akibat wabak itu.

Tosrin berkata, bantuan keperluan asas berjumlah RM3.6 juta diberikan kepada keluarga yang terputus bekalan makanan, tidak dapat bekerja hingga kehilangan sumber pendapatan, Orang Kurang Upaya (OKU), ahli keluarga positif Covid-19, ahli keluarga yang dikuarantin dan ahli keluarga dalam proses kuarantin di kediaman.

"Jumlah penerima zakat juga meningkat iaitu sebanyak 32,000 individu dalam tempoh lapan bulan. Jumlah itu meningkat sebanyak 10 peratus berbanding penerima zakat tahun lalu.

"Bagaimanapun jumlah kutipan zakat pada tahun ini sedikit merosot dari segi zakat perniagaan dan zakat pendapatan," katanya pada sidang media selepas program pra perasmian 'End Year Of Zakat' bermula 1 hingga 31 Disember depan secara dalam talian di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Menurut Tosrin, MAINJ juga memberi RM600,000 untuk keperluan aset perubatan bagi menangani Covid-19 kepada semua hospital di negeri ini melalui Jabatan Kesihatan Negeri.

"Sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah, MAINJ juga menyalurkan sejumlah RM25,000 membabitkan bantuan bagi pengurusan jenazah.

"Wang tunai RM500 secara pemberian 'one off' turut diberi kepada 50 tukang mandi jenazah dan penggali kubur bagi kes kematian jenazah berpunca daripada Covid-19.

"MAINJ turut memperuntukkan RM25,000 bagi keperluan pembelian keranda dan kelengkapan kafan juga secara 'one off' berdasarkan tuntutan rasmi oleh pihak pengurusan jenazah yang disahkan oleh Kadi Daerah," katanya

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 7:22 PM