Mohamed Farid Noh


SEORANG lelaki warga Singapura antara dua ditahan kerana terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok bernilai RM1.5 juta.

Suspek berusia 49 tahun dan seorang lagi suspek lelaki warga tempatan berumur 31 tahun, masing-masing ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Taman Sutera serta Taman Universiti di sini, petang tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintendan Dimin Awang berkata, suspek warga Singapura yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire ditahan jam 2 petang di Taman Sutera ketika sedang memunggah rokok itu ke dalam MPV Proton Exora.

"Suspek warga tempatan yang memandu Proton Exora bagaimanapun dapat melarikan diri namun berjaya dikesan di sebuah rumah di Taman Universiti yang dijadikan pusat pengumpulan rokok seludup," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) hari ini.

Menurut beliau, suspek warga tempatan itu bagaimanapun patah kaki kiri dalam cubaan melarikan diri apabila terjatuh daripada bumbung rumah berkenaan.

"Pemeriksaan di rumah itu menemui pelbagai jenis rokok putih dan Gudang Garam diseludup dari negara jiran.

"Nilai rampasan rokok seludup serta dua MPV itu ialah RM1.7 juta dan ia tertinggi direkodkan PGA tahun ini," katanya.

Menurut Dimin, kegiatan penyeludupan itu bermula sejak setengah tahun lalu dan kes diserah kepada IPD JBU untuk tindakan susulan.

"Untuk rekod, sejak awal 2019 hingga kini, PGA berjaya melakukan rampasan bernilai RM8 juta membabitkan aktiviti penyeludupan rokok, arak dan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 9:16 PM
SIDANG media Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang mengenai rampasan rokok dalam operasi di sebuah rumah di Taman Universiti, Johor Bahru.  FOTO ZAIN AHMED
SIDANG media Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang mengenai rampasan rokok dalam operasi di sebuah rumah di Taman Universiti, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED