SUSPEK ditahan bersama rokok dan arak seludup di sebuah rumah di Taman Sari Cempaka 7, Jalan Junid, Muar. FOTO Ihsan PGA
SUSPEK ditahan bersama rokok dan arak seludup di sebuah rumah di Taman Sari Cempaka 7, Jalan Junid, Muar. FOTO Ihsan PGA
Essa Abu Yamin

Muar: Pelbagai rokok dan arak seludup bernilai hampir RM2 juta dirampas dalam serbuan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam ke atas dua rumah di lokasi berasingan di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di rumah di Taman Sari Cempaka 7, Jalan Junid di sini kira-kira jam 4 petang.

Katanya, seorang lelaki berusia 39 tahun disyaki ahli sindiket penyeludupan ditahan bersama rampasan 4,985 karton rokok dan 11 kotak arak pelbagai jenama.

"Soal siasat ke atas suspek membawa ke rumah kedua di Taman Aman, Jalan Abdul Rahman dan menemukan 3,050 karton rokok dan 53 kotak arak seludup pelbagai jenama.

"Turut dirampas kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5 yang dipercayai dijadikan kenderaan untuk mengedar barangan berkenaan dan anggaran keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM1,993,200," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar rokok dan arak seludup ke kedai-kedai runcit yang tidak berlesen di sekitar kawasan Muar.

"Suspek ditahan dan semua barang salah itu dirampas serta disiasat mengikut Seksyen 135 (1)Akta Kastam 1967.

"Tangkapan dan rampasan seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut.

"Tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Muar," katanya.

Katanya, pihak polis menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 4:02 PM