SULAIMAN (tengah) ketika melawat Zoo Negara. FOTO IHSAN ZOO NEGARA
SULAIMAN (tengah) ketika melawat Zoo Negara. FOTO IHSAN ZOO NEGARA
Raja Noraina Raja Rahim


KUALA LUMPUR: Melaka bercadang menukar spesies zirafah jantan di Zoo Melaka dengan burung botak (Painted Stork) milik Zoo Negara.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pertukaran itu antara kerjasama dibentuk oleh Zoo Melaka dan Zoo Negara bagi mempromosikan tempat pelancongan itu.

Menurutnya, kerajaan negeri meningkatkan promosi terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pandemik Covid-19.

"Kita akan cari cara terbaik untuk kita sama-sama meningkatkan promosi terutama kepada pelancong tempatan untuk terus berkunjung di kedua-dua zoo ini.

"Pada masa sama, kami menimba kemahiran yang ada di Zoo Negara yang boleh dilaksanakan di Zoo Melaka seperti pertukaran penjaga haiwan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Zoo Negara di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly Ahmat Lani dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Melaka Shadan Othman.

Sementara itu, Rosly berkata, Zoo Negara menerima pertambahan pengunjung selepas dibuka semula kepada orang ramai sejak tempoh PKPP diperkenalkan kerajaan, Jun lalu.

Beliau berkata, Zoo Negara menerima lebih 15,000 pengunjung bagi tempoh tiga hari sempena cuti umum Hari Kemerdekaan.

Katanya, pertambahan pengunjung itu di luar jangkaan pihaknya walaupun negara masih berdepan penularan Covid-19 ketika ini.

"Kami jangkakan pengunjung kembali normal dalam tempoh enam bulan tetapi di luar jangkaan apabila pengunjung datang ke sini pada awal pembukaan lagi.

"Sebelum tular lagi pengunjung sudah ramai yang datang sehingga pihak kami berjaga-jaga untuk memastikan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 8:23 PM