Hazira Ahmad Zaidi


DI usia 72 tahun, Ibrahim@ Mustapa Mat Ali menggagahkan diri untuk menguruskan keperluan isterinya yang menghidap kanser payudara tahap satu sejak November 2019.

Ibrahim berkata, dia tidak pernah menyangka isterinya, Siti Nur Esah Junoh, 53, menjadi salah seorang pesakit kanser.

"Pada awalnya isteri saya agak terkejut apabila doktor memberitahu dia menghidap kanser payudara, namun masih di peringkat awal. Semuanya gara-gara isteri tergerak hati menjalani pemeriksaan payudara sendiri di rumah dan berasa ada ketulan kecil.

"Tanpa membuang masa, saya membawa isteri menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan doktor mengesahkan ketulan itu adalah kanser," katanya ketika ditemui di rumahnya di Surau Kerawang, Pulai Chondong, Machang, baru-baru ini.

Ibrahim berkata, hanya Tuhan yang tahu perasaan mereka namun dalam masa sama bersyukur kerana ia masih di peringkat awal dan boleh diselamatkan.

IBRAHIM menjaga isterinya yang disahkan menghidap kanser payudara tahap satu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
IBRAHIM menjaga isterinya yang disahkan menghidap kanser payudara tahap satu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Pada Jun lalu isteri saya menjalani pembedahan kecil membuang ketulan di bahagian kiri payudara dan kini dia sedang menjalani rawatan kemoterapi setiap tiga minggu sekali di HUSM bagi mematikan sel kanser.

"Setiap kali selepas menjalani rawatan kemoterapi, isteri saya akan keletihan, muntah dan hilang selera makan selain perlu memakai lampin pakai buang disebabkan tidak mampu berjalan," katanya yang mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan.

Bapa kepada enam anak berusia antara 20 hingga 30 tahun itu berkata, walaupun mempunyai anak-anak serta menantu yang boleh menguruskan isterinya, namun dia lebih selesa menguruskan keperluan isterinya termasuk menyuap makanan dan menukar lampin pakai buang.

"Namun, ada ketikanya, saya juga dibantu oleh anak-anak yang tinggal bersama untuk mengangkat isteri ke tandas disebabkan saya tidak mempunyai kudrat untuk memapahnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 12:07 PM