GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Seramai 38 individu ditahan semalam kerana melakukan kesalahan rentas daerah atau negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Manakala, tidak memakai pelitup muka menjadi kesalahan tertinggi dilakukan dalam operasi dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merekodkan penahanan seramai 108 individu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan semalam PDRM menahan 289 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kesalahan lain ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (51) dan lain-lain (33).

"Daripada sejumlah 289 individu yang ditahan itu, seramai 277 individu dikenakan dikompaun manakala 11 individu pula direman dan seorang dijamin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-247 dan hari ke-163 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Menurutnya, berkenaan Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM, sebanyak 53,597 pemeriksaan dilaksanakan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Sebanyak 2,931 pasukan pematuhan yang membabitkan 13,367 anggota membuat pemantauan di 3,548 pasar raya, 4,668 restoran serta 1,379 penjaja, 1,299 kilang, 3,291 bank dan 621 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 891 terminal pengangkutan darat, 557 terminal pengangkutan air serta 103 terminal pengangkutan udara," katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, Operasi Benteng dilakukan berjaya menahan 35 pendatang asing tanpa izin (Pati), seorang penyeludup serta merampas sembilan kenderaan darat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 5:32 PM