MAYAT mangsa nahas dalam kejadian di MRR2 menghala Ampang.
MAYAT mangsa nahas dalam kejadian di MRR2 menghala Ampang.
Nadzreen Shah Mat Salim


Bangi: Seorang remaja lelaki maut maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya digilis tayar lori satu tan di Seksyen 13, Bandar Baru Bangi di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Syakirin Amin Mazlan, 18, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.44 pagi dan sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Seramai dua anggota dan pegawai bergegas ke lokasi dan turut dibantu tiga anggota Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS).

“Anggota EMRS segera membuat pemeriksaan awal terhadap mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada anggota polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang posmen maut apabila motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh ketika cuba mengelak sebuah kereta di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) menghala Ampang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, mangsa, Raja Umaraalim Raja Azmi, 32, maut selepas terjatuh di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, motosikal mangsa turut terseret dan melanggar sebuah lori dari arah sama.

“Mangsa maut akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:29 AM