Noor Hidayah Tanzizi dan Rosman Shamsudin


"SAYA bertuah kerana disayangi bapa walaupun kami berlainan agama dan bangsa, malah dia juga selalu pesan orang Islam jangan tinggal sembahyang," kata Mohd Riduan Jalil, 57.

Dia bersama bapa angkatnya, M Renggaiyah, 96, yang beragama Hindu kini tinggal di Jalan Besar, Trolak dekat Slim River sejak 15 tahun lalu.

Mohd Riduan berkata, walaupun tiada pertalian darah namun hubungan mereka sangat rapat dan dia sudah menganggap Renggaiyah seperti bapa kandung.

"Saya selalu ke kedai gunting rambut bapa sebelum dia dan mendiang emak (Wong An Hoi, 81, yang meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu) mengajak saya tinggal bersama mereka.

"Walaupun kami berbeza agama tetapi kami saling menghormati agama masing-masing, mereka tak pernah menghalang saya solat di rumah, malah bapa selalu tanya sudah solat atau belum.

"Lebih membuatkan saya bersyukur apabila kehadiran saya diterima baik anak kandung bapa dan mereka melayani saya seperti saudara sendiri," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, selepas bersara sebagai pengawal keselamatan dua tahun lalu membolehkannya menjaga dan menguruskan bapa angkatnya itu sepenuh masa.

"Walaupun sudah berusia, bapa tiada penyakit serius, penglihatan dan pendengarannya juga masih baik walaupun tidak terlalu jelas, cuma dia sudah tidak kuat untuk berjalan.

"Saya sayang bapa seperti ayah sendiri, bersyukur dapat menumpang kasih dengannya dan akan menjaganya dengan baik selagi berdaya," katanya.

Renggaiyah pula berkata, dia juga menyayangi Mohd Riduan yang dipanggil Wan seperti anak kandungnya.

"Dia jaga saya, saya jaga dia...walaupun kami berlainan agama tetapi saya tidak kisah dan sayang Wan seperti anak sendiri.

"Anak-anak saya juga layan Wan seperti keluarga dan kalau orang tanya, saya beritahu dia anak saya.

"Saya juga tidak pernah melarang dia beribadat di rumah ini," katanya.

Mohd Riduan banyak menghabiskan masa bersama Renggaiyah di kediaman mereka di Jalan Besar, Trolak dekat Slim River. Foto Sharul Hafiz Zam
Mohd Riduan banyak menghabiskan masa bersama Renggaiyah di kediaman mereka di Jalan Besar, Trolak dekat Slim River. Foto Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 9:36 AM