Noor Hidayah Tanzizi


WALAUPUN pergerakan terbatas dengan hanya berkerusi roda, ia bukan penghalang buat M Renggaiyah, 96, yang juga pengundi tertua di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, hari ini.

Lelaki warga emas itu tiba pada 8.30 pagi untuk mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Trolak, Trolak Pekan dekat Slim River bersama anak angkatnya, Mohd Riduan Jalil, 57.

Renggaiyah berkata, dia teruja dapat keluar mengundi biarpun pergerakannya agak terbatas selepas berkerusi roda sejak dua tahun lalu.

"Pagi tadi, saya bangun 5.30 pagi dan sangat bersemangat mahu pergi mengundi. Hari yang ditunggu-tunggu sudah tiba dan saya rasa gembira dapat menjalankan tanggungjawab.

"Sebagai rakyat negara ini kita mesti pergi mengundi, jika ada kerja tinggal sekejap selepas itu boleh sambung kerja semula," katanya yang pernah bertugas sebagai Home Guard di Trolak.

Menurutnya, dia tidak pernah lupa menunaikan tanggungjawab mengundi sejak pengundian negara pertama dijalankan pada 1955.

"Saya berbangga dan bersyukur dapat mengundi dan saya tidak pernah lupa keluar mengundi setiap kali ada pilihan raya sejak dahulu lagi.

"Saya harap semua pengundi di kawasan ini dapat keluar menunaikan tanggungjawab dan sentiasa menghargai keamanan negara," katanya.

Pada 20 Ogos lalu Harian Metro melaporkan Renggaiyah tinggal bersama anak angkatnya yang beragama Islam, Mohd Riduan.

Mohd Riduan yang tinggal di rumah Renggaiyah sejak 15 tahun lalu menganggap warga emas itu seperti bapa kandung dan hubungan mereka sangat rapat walaupun tiada pertalian darah.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

 Pengundi tertua, M Renggaiyah, 96, diperiksa suhu badan oleh pegawai SPR sebelum memasuki pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Trolak Pekan ketika tinjauan sempena hari mengundi bagi pilihan raya kecil DUN Slim. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Pengundi tertua, M Renggaiyah, 96, diperiksa suhu badan oleh pegawai SPR sebelum memasuki pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Trolak Pekan ketika tinjauan sempena hari mengundi bagi pilihan raya kecil DUN Slim. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 9:59 AM