Noor Hidayah Tanzizi


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia akan meneliti cadangan untuk membuka semula Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim yang ditutup sejak hujung tahun lalu bagi memudahkan urusan penduduk Slim River.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin berkata, PPD Muallim antara PPD Satelit dalam peringkat perbincangan dengan mengambil kira jumlah sekolah yang banyak di daerah itu.

Selain itu, menurutnya, ia juga membabitkan faktor jarak apabila penduduk dan pihak berkaitan terpaksa ke PPD Batang Padang di Tapah untuk urusan berkaitan.

"Apa yang disebut (PPD Muallim yang ditutup) sebagai PPD Satelit, jadi ada beberapa PPD Satelit cadangannya di seluruh negara yang masih di peringkat penelitian.

"Jadi kita sedang meneliti kerana sedar jumlah sekolah di kawasan ini terlalu banyak dan juga keperluan untuk ke (PPD) Batang Padang juga agak jauh (tetapi) bukan saja di kawasan Muallim, kita juga lihat di kawasan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pasangan pesara guru, Che Rosnah Zainol, 60, dan Mohd Nadzri Mohd Nadzir, 62, di Taman Bandar Baru, Slim River, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan penutupan pejabat berkenaan yang menumpang bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Aminuddin Baki bertukar lokasi ke PPD Batang Padang.

Isu berkenaan turut dibangkitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, arwah Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak pada November lalu.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim, Mohd Zaidi Aziz turut memohon PPD Muallim dibuka semula berikutan rungutan penduduk yang terpaksa ke PPD Batang Padang yang terletak agak jauh untuk menguruskan urusan persekolahan anak mereka.

Menteri Kanan (Kementerian Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin hadir membuat lawatan bertemu pesara guru di Bandar Baru, Slim River. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Menteri Kanan (Kementerian Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin hadir membuat lawatan bertemu pesara guru di Bandar Baru, Slim River. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 2:50 PM