PENDUDUK di sekitar Pekan Tawar menjalani saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Tawar . FOTO Safuri Kamarudin
PENDUDUK di sekitar Pekan Tawar menjalani saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Tawar . FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


ENAM masjid dan 28 surau di Mukim Tawar, Baling diarahkan menangguhkan pelbagai aktiviti keagamaan berikutan penularan Covid-19 di daerah itu.

Pegawai Agama Daerah Baling, Sheikh Mohd Haizan Hamzah berkata, masjid dan surau diarahkan ditutup bermula semalam.

Beliau berkata, ia dilakukan atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Baling.

"Semua masjid dan surau hendaklah mematuhi arahan dikeluarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, solat Jumaat di masjid ditangguhkan dan segala aktiviti keagamaan seperti majlis ilmu, kuliah, kelas pengajian, majlis bacaan Yassin tidak dibenarkan.

"Majlis akad nikah di masjid juga tidak dibenarkan," katanya.

Katanya, solat fardu berjemaah di masjid dibenarkan dengan bilangan jemaah seramai tiga orang saja dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 7:22 PM