GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Safuri Kamarudin

Baling: Penduduk sekitar Pulai di sini, meminta kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu bagi mengelak orang ramai terus terdedah kepada virus Covid-19.

Sebelum ini, enam penduduk Kampung Dalam Wang dan Padang Cik Mas di Pulai, positif Covid-19 daripada Kluster Tembok berikutan tindakan bekas tahanan reman pulang ke kampung.

Penduduk, Mohd Faizal Wan Haris, 40, berkata, walaupun terdapat kes jangkitan Covid-19 di Pulai, orang ramai masih tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

"Keadaan ketika ini boleh dianggap serius. Setiap hari ambulans dan kenderaan Kementerian Kesihatan masuk ke kampung menyebabkan orang ramai berasa resah.

"Pada masa sama, orang ramai masih bergerak bebas melakukan aktiviti harian termasuk duduk minum di kedai kopi tanpa mematuhi SOP," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Peniaga, Hasnah Che Ahmad, 65, berkata, sikap ambil mudah dapat dilihat dalam kalangan pelanggan yang mengunjungi kedainya apabila ada antara mereka tidak mengimbas suhu dan menulis nama.

"Ketika ini hanya keluarga yang menjadi kontak rapat individu positif Covid-19 sahaja menjalani kuarantin dan kami sendiri tidak tahu siapa penduduk yang benar-benar sihat.

"Apa paling membimbangkan jika ada individu melanggar kuarantin dan berkunjung ke kedai seperti yang berlaku di Tawar sebelum ini," katanya.

Sementara itu, semua masjid dan surau di Kampung Dalam Wang dan Padang Cik Mas diarah menangguhkan semua aktiviti keagamaan dan pengimarahan mulai semalam.

Pegawai Agama Daerah Baling, Mohd Haizan Hamzah berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Baling.

"Semua aktiviti keagamaan seperti majlis ilmu, kuliah, kelas pengajian, majlis bacaan yasin, majlis akad nikah tidak dibenarkan.

"Bagaimanapun laungan azan dibenarkan sebagai makluman masuknya waktu solat dan hanya tiga jemaah terdiri daripada pegawai masjid dibenarkan mendirikan solat di masjid," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 5:00 PM