GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


SEMUA aktiviti keagamaan di masjid dan surau yang terletak di 46 kariah dalam daerah Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Baling ditangguh berkuat kuasa semalam susulan penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, arahan penangguhan itu adalah yang kedua selepas dilaksanakan di masjid dan surau di beberapa kariah di empat mukim dalam daerah Kubang Pasu dan Padang Terap berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) bermula 3 Ogos lalu.

Katanya, daerah Kuala Muda mencatatkan jumlah tertinggi iaitu membabitkan 30 kariah antaranya kariah di Sungai Lalang, Sungai Layar, Taman Ria, Pekan Jeniang, Bakar Arang, Bandar Puteri Jaya, Bandar Laguna Merbok, Ambangan Height, dan Taman Seri Bayu.

"Di Kota Setar, hanya satu kariah iaitu di kariah Teluk Bagan selain tiga di daerah Yan membabitkan kariah Guar Cempedak, Titi Teras dan Sungai Belida.

"Bagi daerah Kulim, antara kariah yang terbabit adalah Taman Mutiara, kariah Padang Meha, Sungai Karangan, Merbau Pulas, Kulim Hi-Tech dan Sungai Kob," katanya dalam kenyataan di Alor Setar.

Di Baling pula, sebanyak enam kariah terkesan iaitu kariah di Pekan Tawar, Binjul Luar, Kuala Ketil, Kuala Merah, Kampung Pantai Chicar dan Kampung Padang Geh.

Justeru Mohd Yusri berkata, solat Jumaat yang diadakan di masjid dalam kariah yang terbabit turut tidak dibenarkan dan digantikan dengan solat Zohor.

"Kebenaran solat fardu berjemaah di masjid dan surau terbabit hanya tiga individu sahaja dibenarkan iaitu imam, pegawai masjid serta jawatankuasa kariah.

"Aktiviti-aktiviti keagamaan seperti majlis ilmu, kuliah dan kelas pengajian serta majlis bacaan Yasin turut dilarang.

"Majlis akad nikah di masjid atau surau yang terbabit juga tidak dibenarkan selain pengurusan solat jenazah hanya dibenarkan dilaksanakan di rumah dengan kehadiran pegawai masjid dan ahli keluarga terdekat sahaja," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusri, berkata pihaknya turut mengarahkan supaya proses pembersihan dan disinfeksi dilakukan di semua masjid dan surau yang terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 9:13 AM