GELANDANGAN  sekitar bandar Seremban beratur untuk mengambil makanan di Dapur Kausar. FOTO Ihsan Azlin Ali
GELANDANGAN sekitar bandar Seremban beratur untuk mengambil makanan di Dapur Kausar. FOTO Ihsan Azlin Ali
Redzuan Muharam


MESKIPUN sibuk dengan tugas sebagai suri rumah dan ibu kepada empat anak, ia bukan halangan bagi Azlin Ali, 40, bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan terutamanya membantu golongan gelandangan.

Kesungguhan wanita itu dalam membantu golongan kurang bernasib baik diterjemahkan dengan mengasaskan Dapur Kausar bersama suami, Zainuddin Abas, 44, pada Januari lalu.

Berperanan sebagai Pengurus Dapur Kausar, Azlin dibantu Zainuddin serta sukarelawan dan empat anaknya.

Katanya, Dapur Kausar yang terletak di Jalan Kapitan Tam Yeong, Seremban, Negeri Sembilan adalah cetusan idea melihat kehidupan gelandangan sejak dia terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan, lima tahun lalu.

Baginya, golongan itu perlu dibantu supaya tidak berterusan hidup terumbang- ambing di jalanan.

"Dapur Kausar mulanya didaftarkan di bawah Pertubuhan Penyayang Negeri Sembilan tetapi kini bertukar kepada Pertubuhan Prihatin Sejagat Negeri Sembilan.

"Antara inisiatif yang dilakukan adalah memberi penempatan sementara kepada 15 gelandangan lelaki dan wanita dalam tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mei lalu.

"Mereka berumur antara 32 hingga 58 tahun itu tinggal di Dapur Kausar sehingga 26 Mei lalu selepas tapisan dilakukan menerusi sesi temu duga dan bantuan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Azlin, usaha kini diteruskan menerusi aktiviti pengagihan makanan yang dijalankan pada jam 4 petang setiap hari yang turut membabitkan orang kurang upaya (OKU) dan asnaf.

"Setakat ini, sebahagian dana adalah daripada suami manakala selebihnya daripada masyarakat yang menghulurkan sumbangan.

"Kadangkala, ada juga restoran berhampiran memberi sumbangan lauk yang sudah dimasak.

"Setiap hari, kira-kira 70 gelandangan, OKU dan asnaf datang mengambil makanan dengan peruntukan RM6 setiap orang," katanya

Di sebalik usaha murni itu, Azlin mengakui turut berdepan cabaran apabila usahanya tidak disenangi sesetengah pihak.

"Memang ada segelintir yang mempersoalkan usaha saya membantu gelandangan kerana mereka menganggap saya seolah-olah menggalakkan golongan itu terus meminta-minta.

"Sedangkan, saya tidak membantu sepenuhnya sebaliknya hanya memberi sumbangan makanan yang boleh mengalas perut supaya mereka tidak kelaparan. Itu saja.

"Terpulang kepada persepsi masing-masing kerana apa yang penting, saya puas setiap kali dapat melakukan kebaikan dan berharap usaha ini dapat menjadi saham saya di akhirat nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 7:13 PM