GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan agar pelaksanaan solat sunat Aidiladha di semua masjid dan surau dibuat dengan kaedah kehadiran jemaah secara terbuka (First Come, First Serve).

Unit Korporat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kenyataan memaklumkan, kaedah itu boleh diguna pakai sehingga kapasiti jemaah sebenar ruang solat dipenuhi selepas penjarakan sosial 1.5 meter dilakukan.

Bagaimanapun, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) dikecualikan kerana melaksanakan penggunaan e-pass.

"Bagi kehadiran jemaah muslimat (wanita), kebenaran hanya dibenarkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dengan had jemaah seramai 220 orang di ruang solat khas muslimat manakala Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pula dengan had jemaah muslimat seramai 250 orang.

"Pelaksanaan solat sunat bagi semua masjid dan surau di Selangor adalah pada jam 8 pagi dan jemaah diminta mematuhi garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan ibadah korban pula hanya akan dilaksanakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), masjid daerah, masjid diraja, masjid naik taraf, masjid institusi dan masjid-masjid kariah atau tempat-tempat yang ditentukan oleh pihak masjid.

Menurutnya, semua jemaah dan ahli jawatankuasa masjid dan surau diminta untuk sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan dan garis panduan yang ditetapkan sebelum ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Ketetapan yang dilakukan ini seharusnya diambil berat oleh semua pihak dalam memastikan kelangsungan peranan institusi masjid dan surau dapat diteruskan dan berjalan lancar ke arah pembinaan kesatuan dan kekuatan umat Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 5:59 PM