TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Sri Ayu Kartika Amri


PIHAK swasta disarankan agar bertolak ansur dengan penyewa yang menghadapi kekangan aliran tunai.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah ini perlu dilakukan supaya penyewa terutama pengusaha mempunyai lebih ruang untuk membangunkan semula perniagaan masing-masing.

Katanya, kerajaan juga ingin menyarankan agar penyewa premis swasta memainkan peranan untuk sama-sama membina semula ekonomi negara.

"Kita harus ingat, jika perniagaan mereka ditutup, penyewa juga akan kekurangan potensi untuk mendapat hasil sewaan," katanya dalam Laporan Laksana Ke-14 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri ketika mengumumkan Pakej Prihatin Tambahan memaklumkan, kerajaan akan mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS, bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Justeru, kerajaan turut menggesa pemilik premis swasta untuk turut memberikan kemudahan yang sama, dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiga bulan selepas tempoh itu berakhir.

Selain itu, pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa itu bagi April 2020 hingga Jun 2020.

Potongan cukai tambahan ini diberikan tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa asal bagi tempoh berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 5:49 PM