KENYATAAN mengenai pengecualian dan pengurangan sewa premis MAIWP.
KENYATAAN mengenai pengecualian dan pengurangan sewa premis MAIWP.
Rosyahaida Abdullah


MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengambil inisiatif memberikan pengecualian dan pengurangan sewa kepada 240 penyewa premis miliknya selama tiga bulan bermula bulan ini.

Dalam satu kenyataan, MAIWP menjelaskan, menerusi inisiatif itu, penyewa premis kediamannya daripada kumpulan B40 akan diberikan pengecualian sewaan sepanjang tempoh terbabit.

"Pengecualian turut diberikan kepada penyewa premis komersil MAIWP yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, bagi penyewa premis kediaman yang bukan dalam kalangan B40, mereka diberikan pengurangan sewaan sebanyak 50 peratus bagi tempoh sama.

"Pengurangan sewaan ini juga diberikan kepada penyewa premis komersil MAIWP yang terdiri daripada syarikat yang masih boleh beroperasi sepanjang tempoh PKP," demikian menurut kenyataan terbabit.

Menurut MAIWP, inisiatif yang diambil selari dengan saranan Perdana Menteri menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat itu nilai sewaan berjumlah RM2.91 juta.

Katanya, langkah itu diharap dapat meringankan beban penyewa premis MAIWP dan membantu golongan berkenaan merancang serta menguruskan komitmen kewangan dalam mendepani situasi ekonomi yang mencabar akibat penularan pandemik Covid-19.

"Sehingga kini, MAIWP sudah memperuntukkan RM39.495 juta dana zakat bagi membantu pihak yang terjejas dan memerlukan menerusi misi MusaadahCOVID-19.

"Misi ini digerakkan oleh agensi dibawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 8:33 PM