SUSPEK dibawa ke mahkamah majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman. FOTO Amran Hamid
SUSPEK dibawa ke mahkamah majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman. FOTO Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli


EMPAT lelaki yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pecah cermin bangunan dengan melastik guli sekitar Alor Setar direman selama 21 hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

Permohonan reman mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah (APJ) 1959 (POCA) dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durrani Aziz di hadapan oleh Majistret Siti Nurhidayah Abdul Rahim

Mereka akan ditahan bermula hari ini sehingga 9 Ogos depan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Terdahulu tiga suspek yang berusia 24 tahun dan seorang lagi berusia 30 tahun dibawa ke mahkamah dengan menaiki dua kenderaan polis pada jam 9 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh mengesahkan laporan berhubung perintah reman terhadap semua suspek terbabit.

Dalam tangkapan pada 26 Jun lalu, suspek ditahan kira-kira jam 5 pagi di sekitar bandaraya Alor Setar oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Mereka disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 13 kes pecah cermin beberapa premis di sekitar bandar raya ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 3:44 PM