Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga lelaki yang disyaki terbabit kes samun di daerah ini akhirnya berjaya ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek pertama berusia 20 tahun ditahan di sekitar sini pada 8 pagi oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

"Susulan penahanannya, dua lagi suspek berusia lingkungan 20-an ditahan secara berasingan pada hari sama.

"Turut dirampas sebuah kenderaan serta peralatan yang digunakan sewaktu melakukan aktiviti jenayah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, dengan tertangkapnya ketiga-tiga individu ini, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes membabitkan kes samun berkawan, dua kes pecah kedai serta dua kes curi.

Katanya, semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 305 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 1:40 PM