KEADAAN motosikal ditunggang mangsa yang terbakar. FOTO ihsan polis
KEADAAN motosikal ditunggang mangsa yang terbakar. FOTO ihsan polis
Zatul Iffah Zolkiply


JURUJUAL maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh sebuah treler di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi (simpang tiga Bukit Perpat) di Kuala Berang, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Arman Che Aziz, 27, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika treler yang membawa muatan simen dalam perjalanan dari arah Ajil menghala ke Bukit Perpat.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal Ducati Corse pula dalam perjalanan dari arah Wakaf Tapai menghala ke Ajil.

"Ketika treler sedang membelok ke kanan simpang tiga Bukit Perpat, motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh tayar belakang kiri treler.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh di petak kuning simpang jalan manakala motosikalnya terbakar," katanya.

Mohd Adli berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat manakala pemandu treler berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 10:10 PM