KEADAAN dua motosikal yang dilanggar suspek. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN dua motosikal yang dilanggar suspek. FOTO Ihsan Polis
Zaid Salim


Kuala Berang: Polis mengambil masa lebih sejam mengejar kereta dipandu lelaki yang memandu dalam keadaan berbogel, sebelum ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Batu 18, di sini, hari ini.

Terdahulu, lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental melarikan diri selepas melanggar sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Bukit Jong, Kuala Terengganu, pada 12.15 tengah hari.

Ketika melarikan diri, lelaki yang memandu kereta Honda City itu melanggar 12 lampu isyarat, tiga SJR PKP dan tiga kenderaan awam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, sebaik melanggar SJR di Bukit Jong, lelaki berusia 45 tahun dari Taman Sinn, Semabok, Melaka itu dikatakan memecut kenderaannya menghala ke bandar Kuala Terengganu sebaik menyedari kenderaannya dikejar kereta peronda sektor Balai Chabang Tiga, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu yang sedang membuat rondaan Ops Covid-19.

"Lelaki terbabit juga tidak mengendahkan arahan berhenti yang dikeluarkan polis sebanyak tujuh kali sebaik kenderaannya melalui persimpangan lampu isyarat Jalan Tuanku Mizan berhampiran Perpustakaan Awam Negeri sebelum menghala ke persimpangan lampu isyarat Bukit Besar.

"Kenderaan terbabit kemudian terus memecut memasuki Jalan Kuala Berang dan melanggar 12 lampu isyarat dan tiga SJR sebelum ditahan di Kuala Berang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Adli berkata, ketika melarikan diri, lelaki terbabit turut merempuh kenderaan lain, iaitu sebuah kereta dan dua motosikal.

Katanya, kemalangan pertama membabitkan sebuah kereta dipandu seorang wanita di persimpangan lampu isyarat Kampung Kubang Parit, manakala kemalangan kedua membabitkan sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki.

Menurutnya, pihaknya belum dapat memastikan kecederaan dialami dua mangsa terbabit.

Katanya, kemalangan ketiga berlaku di KM 30, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Bukit Perah, Ajil, di sini, selepas kenderaan terbabit melanggar SJR PKP di Batu 18 Ajil.

"Mangsa seorang wanita yang menunggang motosikal Yamaha NVX biru patah bahu kiri dan luka di bahagian kepala.

"Kerani berusia 46 tahun dari Kampung Batu 24, di sini, dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya.

Mohd Adli berkata, berlaku sedikit pergelutan sebelum lelaki terbabit berjaya ditahan sebelum dibawa ke hospital bagi mendapat rawatan segera selepas mengalami luka kecil di kepala, pipi kiri, kaki dan tangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 APJ 1987 kerana memandu secara berbahaya dan melulu. Semakan rekod mendapati lelaki terbabit menghidap masalah sakit mental iaitu Schizophrenia.

"Ujian air kencing, darah dan ujian saringan Covid-19 turut dilakukan dan keputusannya negatif Covid-19," katanya sambil menambah siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 9:58 PM