MANGSA ditemukan meninggal dunia di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Berang. FOTO Ihsan Polis
MANGSA ditemukan meninggal dunia di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Berang. FOTO Ihsan Polis
Zaid Salim


Hulu Terengganu: Pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari Hospital Hulu Terengganu (HHT) maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Berang, di sini, hari ini.

Mangsa, Kassim Abdullah, 66, dari Kampung Kuala Jenerih ditemukan orang awam di susur keluar sebuah kilang berhampiran tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa yang dirawat sebagai pesakit Covid-19 di HHT itu dikesan keluar menggunakan motosikal Honda C100 milik kakitangan hospital berkenaan.

"Mangsa menggunakan motosikal kakitangan hospital yang diparkir di kawasan surau hospital berkenaan dan dikesan melarikan diri menghala ke pekan Wakaf Tapai secara melawan arus.

"Sebaik tiba di persimpangan Bukit Perpat, motosikal ditunggangi warga emas itu tiba-tiba terbabas melanggar pembahagi jalan dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HHT untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 6:29 PM