Mohd Sufian   melayan  murid  pada program lawatan sambil belajar, semalam.
Mohd Sufian melayan murid pada program lawatan sambil belajar, semalam.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Penternak kelulut dihantui rasa bimbang berikutan kegiatan mencuri lot sarang kelulut semakin kerap berlaku di negeri ini.

Sehubungan itu, penternak meminta kerjasama semua pihak terutama penternak baru supaya tidak membeli lot sarang itu daripada penjual diragui.

Penternak, Mohd Sufian Mat Nor, 42, dari Kampung Pasir Panjang berkata, dia kehilangan empat lot sarang kelulut pada Januari lalu membabitkan kerugian RM2,400 manakala rakannya di Besut sebanyak lima lot sarang dengan kerugian RM3,000.

“Memandangkan kecurian itu semakin rancak berlaku, penternak meningkatkan kawalan keselamatan di ladang termasuk membela anjing.

“Punca utama lot sarang kelulut itu dicuri kerana permintaannya tinggi.

“Lebih malang ada segelintir penternak baru membeli lot sarang dicuri dengan harga RM500 hingga RM630 setiap satu,” katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Sambil Belajar Sekolah Rendah Swasta Showme Seberang Takir di Galeri Madu Kelulut Bukit di sini, semalam.

Mohd Sufian berkata, pihaknya melalui Persatuan Lebah Kelulut Terengganu (PELEKAT) menetapkan peraturan dalam pembelian lot sarang kelulut dalam kalangan ahli.

“Penjual diwajibkan mengambil gambar nombor siri lot sarang bersama penjual untuk dijadikan bukti pengesahan lot sarang itu bukan dicuri.

“Ia antara kaedah diperkenalkan bagi menangani isu kecurian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 8:20 AM