Nor ‘Asyikin Mat Hayin


DENGGI sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk aedes aegypti dijangkiti.

Setiap tahun, ia mencatatkan peningkatan daripada segi jumlah kes dan kematian serta menjadi ancaman kesihatan di Malaysia.

Berdasarkan laman sesawang idengue.arms.gov.my, setakat 13 Julai lalu, 59,070 kes denggi direkodkan.

Hingga kini, belum ada penawar untuk merawat penyakit yang boleh membawa maut ini.

Namun, pengkaji di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sedang berusaha untuk mencari penawar penyakit ini menggunakan bahan alami iaitu madu kelulut.

LEBAH kelulut
LEBAH kelulut

Ini kajian pertama di Malaysia yang dilakukan oleh penyelidik tempatan.

Pakar Kecemasan PPUKM, Dr Nik Azlan Nik Muhamad berkata, kajian ini sedang berjalan selama tiga tahun sejak 2017 dalam menghasilkan rawatan alternatif denggi.

Menurutnya, kajian mengaitkan madu dan denggi dilakukan kerana sifat antioksida dan bahan fenolik pada madu kelulut didapati boleh membunuh pelbagai virus seperti influenza serta herpes.

"Selain itu, kajian terdahulu membuktikan madu ini sebenarnya mampu mengawal sistem imun hiperaktif dalam badan.

"Antara punca demam denggi menjadi parah apabila sistem imun menjadi terlebih aktif lalu memusnahkan organ penting dalam badan seperti saluran darah, hati dan jantung.

"Dalam madu kelulut, terdapat kira-kira 700 elemen seperti antioksida, sukrosa, hidrogen peroksida dan fenol aromatik (elemen kimia) yang berfungsi untuk membunuh virus," katanya.

DR Nik Azlan menunjukkan sarang kelulut.
DR Nik Azlan menunjukkan sarang kelulut.

Beliau berkata, denggi yang mengakibatkan kematian adalah disebabkan virus denggi dan reaksi imun badan terhadap penyakit berkenaan.

"Apabila reaksi imun badan berlaku secara berlebihan, ia boleh menyebabkan kebocoran pada saluran darah dan pendarahan.

"Pada tahap ini, pesakit dikelaskan menghidap denggi berdarah dan berisiko meninggal dunia," katanya.

Dr Nik Azlan berkata, dalam kajiannya, sebagai langkah pencegahan awal, pesakit diberikan madu kelulut untuk membunuh virus itu dan mengawal tindak balas sistem imun badan supaya tidak berlebihan.

"Seramai 40 pesakit denggi dipilih dalam kajian rintis ini yang diberikan madu kelulut untuk melihat reaksi madu terhadap penyakit berkenaan.

"Jika dilihat daripada hasil keputusan darah dan bacaan platelet, ia belum menunjukkan kesan yang signifikan," katanya.

PESAKIT diberikan lapan mililiter (ml) madu sehari.
PESAKIT diberikan lapan mililiter (ml) madu sehari.

Bagaimanapun, katanya, pesakit mengambil madu kelulut memperlihatkan perubahan kepada gejala denggi seperti sakit perut, muntah, cirit-birit dan sakit kepala yang semakin berkurangan.

"Perkembangan positif ke atas pesakit dapat dilihat pada hari kedua dan ketiga selepas mereka mengambil madu kelulut.

"Setiap pesakit diberikan satu paket madu kelulut pada waktu pagi dan petang yang kandungan setiap satunya ialah empat mililiter (ml).

"Madu ini diambil sehingga pesakit sembuh dan digalakkan diteruskan untuk pemulihan sepenuhnya pasca denggi," katanya.

Jelas Dr Nik Azlan, ada beberapa jenis madu lain seperti gelam, lebah dan manuka.

"Namun, saya memilih madu kelulut kerana ia banyak terdapat di Malaysia, mudah diperoleh dan tinggi antioksida.

"Sebab saya memilih madu untuk rawatan alternatif ini kerana terdapat kajian menunjukkan lebah boleh dijangkiti virus denggi (kajian secara hipotesis).

"Tambahan pula, di Malaysia ada banyak nyamuk aedes yang berkemungkinan nyamuk ini bercampur dengan lebah lalu menghasilkan antibodi terhadap denggi," katanya.

Dr Nik Azlan berkata, walaupun begitu, kandungan gula pada madu adalah tinggi dan madu yang paling baik untuk digunakan untuk perubatan ialah madu yang mempunyai rasa sedikit masam.

DR Nik Azlan melakukan proses mengeluarkan madu kelulut dari sarang.
DR Nik Azlan melakukan proses mengeluarkan madu kelulut dari sarang.

"Masam menunjukkan kandungan antioksidanya tinggi dan boleh membantu merawat pesakit.

"Madu yang tersimpan lama dalam botol kurang berkhasiat kerana enzimnya sudah berkurangan berbanding madu dimakan terus dari sarang.

"Begitu juga dengan rasa madu di sarang, ia lebih masam dan menyengat," katanya.

Namun Dr Nik Azlan berkata, pesakit kencing manis dan kronik yang dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU) tidak digalakkan mengambil madu sebagai rawatan alternatif kerana kandungan gulanya tinggi boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Katanya, tidak ramai memilih menggunakan kaedah rawatan alternatif daripada bahan semula jadi kerana lazimnya ramai cenderung memilih rawatan moden seperti pengambilan antibiotik walaupun membabitkan penyakit ringan.

"Selesema dan batuk, boleh berikhtiar dengan cara mencuba makan madu terlebih dahulu.

"Ini bagi memastikan tubuh dapat membiasakan dan membina tindak balas yang kuat terhadap ubat menggunakan bahan semula jadi (madu).

"Bagaimanapun, perubatan moden tetap tidak boleh diabaikan dan madu ini hanya rawatan atau makanan tambahan," katanya.

Menurut Dr Nik Azlan, setakat ini PPPUKM belum mempunyai perancangan mengkomersialkan madu kelulut sebagai rawatan alternatif denggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 6:30 AM