GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Banjir yang melanda negeri ini sejak awal bulan lalu, pulih sepenuhnya hari ini selepas 93 mangsa terakhir daripada 23 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, jam 3 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang ditutup itu ialah Sekolah Agama Gemereh di Segamat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunut, Batu Pahat.

Beliau berkata, banjir yang melanda Johor sejak 1 Januari lalu itu membabitkan lapan daerah iaitu Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Kulai dan Batu Pahat.

"Sehingga pukul 3 petang tadi, seramai 93 mangsa di dua PPS di daerah Segamat dan Batu Pahat dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan banjir pulih sepenuhnya.

"Antara daerah terjejas teruk dilanda banjir kali ini ialah Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kluang. Sepanjang tempoh bencana berkenaan yang melanda negeri ini, lebih 7,000 mangsa dipindahkan di 72 PPS di lapan daerah terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, kejadian banjir yang berlarutan lebih dua minggu itu menyaksikan tiga individu berusia 20 hingga 61 tahun menjadi korban banjir di daerah Kluang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:44 PM