DAUN ketum dan kereta pacuan empat roda dirampas pihak berkuasa dalam serbuan di Durian Burung, Padang Terap. FOTO Ihsan ATM
DAUN ketum dan kereta pacuan empat roda dirampas pihak berkuasa dalam serbuan di Durian Burung, Padang Terap. FOTO Ihsan ATM
Zuliaty Zulkiffli


CUBAAN sindiket penyeludupan daun ketum menyeludup barangan berkenaan ke Thailand berjaya digagalkan, awal pagi semalam.

Pihak berkuasa bukan sahaja berjaya merampas 2,300 kilogram (kg) daun ketum sebaliknya tiga kenderaan pacuan empat roda yang digunakan kumpulan terbabit dirampas dalam serbuan di Durian Burung, Padang Terap.

Sumber berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM357,000.

"Pasukan operasi berjaya mengesan kenderaan pacuan empat roda yang dilapor merempuh halangan dibina bergerak ke Batu Sempadan 32 (BS 32) di sempadan Malaysia-Thailand.

"Pihak berkuasa mengejar sebelum menahan tiga kenderaan itu. Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui 230 beg plastik hitam berisi daun ketum seberat 2,300 kg," katanya.

Katanya, tiga pemandu pacuan empat roda terbabit bagaimanapun berjaya meloloskan diri.

Untuk rekod, operasi itu yang dikoordinasi Markas Briged Keenam Infantri Malaysia itu disertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, pihak berkuasa percaya daun ketum itu akan diletakkan di suatu tempat ditetapkan sebelum diambil tekong dari Thailand yang melalui laluan haram di kawasan sempadan.

"Semua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 6:16 PM