GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat


PENUNTUT sebuah institut pengajian tinggi kerugian RM5,000 selepas terpedaya dengan tawaran hadiah misteri yang tidak wujud oleh sindiket penipuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 19 tahun yang tertarik dengan tawaran hadiah cabutan bertuah bernilai RM7,000 berputih mata apabila wang dalam akaun banknya dipindahkan kepada pihak lain.

Menurutnya, mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang memaklumkan dia memenangi hadiah cabutan bertuah berupa wang tunai daripada sebuah syarikat telekomunikasi pada 5 Julai lalu.

"Bagi menebus hadiah itu, mangsa diarah membuat tambah nilai berjumlah RM280 ke nombor telefon sendiri dan caj penebusan hadiah akan ditolak daripada jumlah tambah nilai berkenaan.

"Bagaimanapun, mangsa menerima mesej memaklumkan jumlah tambah nilainya itu ditolak dan dikongsi kepada satu nombor telefon milik individu lain.

"Mangsa seterusnya diminta menyerahkan maklumat perbankan termasuk kata laluan kepada lelaki berkenaan untuk proses pembayaran wang hadiah melalui akaun banknya," katanya di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian menerima empat nombor kod kebenaran transaksi (TAC) pindahan wang melalui akaun banknya berjumlah RM600 hingga RM2,000 ke akaun bank milik individu lain pada 8 dan 9 Julai lalu.

Katanya, mangsa seterusnya diminta membuat bayaran tambahan RM1,000 sebagai cukai Bank Negara namun dia tidak berbuat demikian selepas curiga dengan urusan berkenaan.

"Mangsa yang syak dia tertipu membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Rompin, semalam dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kita (polis) sedang giat mengesan pemilik akaun bank dan nombor telefon digunakan individu terbabit dalam kes itu bagi membantu siasatan.

"Masyarakat diingatkan supaya lebih berhati-hati dengan helah serta taktik yang digunakan sindiket penipuan dalam talian yang sentiasa berusaha mencari mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 12:38 PM