RAKAMAN CCTV di dalam lif menunjukkan suspek cuba memukul anaknya dengan penukul. FOTO ihsan polis.
RAKAMAN CCTV di dalam lif menunjukkan suspek cuba memukul anaknya dengan penukul. FOTO ihsan polis.
Zuhainy Zulkiffli


LELAKI ditahan polis kerana didakwa cuba memukul anak lelakinya berusia lapan tahun menggunakan penukul di Bandar Baru Farlim, Air Itam, Georgetown, malam tadi.

Suspek berusia 42 tahun ditahan sejurus isterinya berusia 37 tahun yang juga pekerja kilang tampil membuat laporan di balai polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, isteri suspek yang tinggal di Jelutong, sebelum itu dikatakan menerima kiriman video daripada adiknya yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian lif sebuah perumahan di bandar berkenaan.

Katanya, video itu menunjukkan suspek cuba memukul mangsa dengan menggunakan penukul ketika berada dalam lif terbabit dan mangsa dilihat berada dalam ketakutan.

"Menerusi video itu, suspek dipercayai berada dalam keadaan seperti sedang mabuk dan tidak terurus.

"Suspek ditahan pada jam 9 malam tadi berhampiran Air Itam dan mangsa yang turut diselamatkan akan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini bagi melakukan pemeriksaan kesihatan," katanya kepada NSTP, hari ini.

Soffian berkata, siasatan awal mendapati suspek dan isterinya berkahwin pada 2008, namun sudah tinggal berasingan sejak empat tahun lalu berikutan masalah rumah tangga manakala mangsa adalah anak tunggal mereka.

Katanya, suspek yang bekerja sendiri itu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu tiga daripadanya berkait kes jenayah dan dua lagi bersangkut kes dadah.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dan dia akan dibawa ke mahkamah bagi direman dan siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 2:08 AM