Zuhainy Zulkiffli


LELAKI yang memukul pemandu teksi warga emas dalam kejadian di Medan Angsana Satu, Bandar Air Itam dekat Georgetown, sudah ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penahanan lelaki berusia 35 tahun itu dibuat pada 12.30 tengah hari ini.

“Bertindak atas maklumat, suspek yang juga pengawal keselamatan itu ditahan di Jalan Macalister, Georgetown.

“Polis turut merampas topi keledar yang dipercayai digunakan suspek bagi memukul mangsa semasa kejadian,” katanya kepada media, hari ini.

Harian Metro melaporkan tindakan suspek yang memukul pemandu teksi berusia 80 tahun itu dengan menggunakan topi keledar gara-gara tidak berpuas hati dalam satu perlanggaran dekat Georgetown, pada 5 April lalu.

Suspek mendakwa mangsa melanggarnya, sedangkan mangsa menafikannya.

Berang dengan mangsa, suspek tiba-tiba terus memukul kepala mangsa dengan menggunakan topi keledar.

Video berkenaan kejadian, tular di media sosial dan mendapat perhatian warganet.

“Siasatan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan akan direman bagi siasatan lanjut,” kata Soffian lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Orang tua pun hang nak pukul [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 7:33 PM