ALEXANDER mendengar penerangan dari kakitangan Les' Copaque Production Sdn Bhd semasa membuat lawatan sempena Kempen Beli Barang Malaysia (KBBM) di Seksyen 13, Shah Alam. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
ALEXANDER mendengar penerangan dari kakitangan Les' Copaque Production Sdn Bhd semasa membuat lawatan sempena Kempen Beli Barang Malaysia (KBBM) di Seksyen 13, Shah Alam. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Norzamira Che Noh


PENGGUNAAN watak animasi kanak-kanak popular, Upin dan Ipin dijangka merancakkan lagi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang berlangsung sepanjang Julai hingga Disember tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, animasi yang sudah bertapak sejak 15 tahun lalu itu dikenali setiap lapisan masyarakat di negara ini.

"Upin dan Ipin adalah sebuah animasi yang berjaya serta sangat popular, justeru kita mahu menggunakan peluang ini mempromosikan KBBM.

"Kita yakin, kaedah promosi seperti ini akan lebih memberi kesan dalam KBBM sekaligus merancakkan lagi ekonomi negara yang terjejas ekoran pandemik COVID-19," katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan di Les' Copaque Production, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Alexander berkata, KPDNHEP juga menyeru mana-mana pihak yang ingin menyumbang dalam mempromosikan kempen itu bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, kerjasama dengan KPDNHEP untuk kempen berkenaan akan membabitkan tiga episod dalam siri animasi itu.

"Dalam siri berkenaan, kita akan menceritakan berkaitan KKBM dan ia akan dihasilkan pada tahun hadapan ekoran jadual kami yang ketat susulan Covid-19.

"Bagaimanapun, untuk promosi segera kami akan menyediakan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) berkaitan kempen ini," katanya.

Beliau berkata, syarikatnya juga akan menjalankan promosi menerusi maskot Upin dan Ipin dan ia sedang dirangka pihaknya bersama KPDNHEP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 2:35 PM