SHAHROL AZRAL IBRAHIM HALMI
SHAHROL AZRAL IBRAHIM HALMI
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa kelulusan perdana menteri dalam perkara berkaitan dana pelaburan negara tidak pernah diguna pakai oleh lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 50, berkata perkara tertentu yang memerlukan kelulusan perdana menteri termasuk pelaburan, penstrukturan semula serta kuasa menggaji dan memecat seperti yang dinyatakan dalam Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) tidak pernah digunakan.

Beliau berkata demikian semasa disoal balas peguam Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan rasuah Ahli Parlimen Pekan itu berkaitan skandal 1MDB yang membabitkan RM2.3 bilion.


Muhammad Shafee: Artikel 117 digubal bagi memastikan perdana menteri dapat mengemudikan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan negara.

Shahrol Azral: Betul.

Muhammad Shafee: Semasa temu bual anda dengan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 11 Februari 2016, anda ditanya secara khusus sama ada anda sebagai CEO 1MDB ada mengguna pakai Artikel 117 bagi mendapatkan kelulusan daripada PM… dan anda jawab tidak.

Shahrol Azral: Betul.

Kepada soalan lain, saksi kesembilan pendakwaan itu menafikan bahawa beliau ada membuat perjanjian dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengelak didakwa di mahkamah.

Muhammad Shafee merujuk kepada aduan yang dibuat oleh pegawai bank BSI di Singapura, Yap Jiawei, yang didapati bersalah oleh mahkamah di republik itu atas pertuduhan melakukan penipuan dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan 1MDB.

Beliau mendakwa ia sama seperti aduan Najib mengapa orang lain yang terbabit dalam skandal 1MBD tidak didakwa di sini.

Muhammad Shafee: Anda adalah antara individu paling awal yang sepatutnya didakwa bagi kesalahan ini.

Shahrol Azrol: Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee: Adakah anda membuat perjanjian dengan SPRM dan pendakwaan bahawa anda akan menyanyi (seperti seekor burung) di sini dan anda tidak akan didakwa?

Shahrol Azrol: Tidak.

Muhammad Shafee: Saya katakan kepada anda bahawa anda ada membuat perjanjian dengan pendakwaan.

Shahrol Azral: Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee: Ada tak sesiapa yang menyaman anda kerana kecuaian?

Shahrol Azral: Tidak ada.

Muhammad Shafee: Itu pun sebab perjanjian dibuat maka anda tidak akan didakwa jika anda membabitkan anak guam saya.

Shahrol Azral: Saya tidak setuju.

Saksi itu juga berkata beliau tidak tahu mengenai kes seorang lagi pegawai bank BSI yang dihukum oleh mahkamah di Singapura membabitkan pertuduhan sama iaitu Yak Yew Chee, yang juga pegawai bank peribadi bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Pada awal prosiding hari ini, Muhammad Shafee memaklumkan mahkamah bahawa jadual anak guamnya penuh dengan program di Chini, Pahang yang bermula hari ini sehingga pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri kawasan itu berlangsung pada Sabtu.

"Saya ingin meminta kebenaran Yang Arif untuk menangguhkan perbicaraan esok," kata Muhammad Shafee.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menyoal sama ada Najib boleh hadir ke mahkamah untuk sesi perbicaraan separuh hari esok namun Muhammad Shafee berkata anak guamnya mendapati perkara itu adalah "mustahil" dilakukan kerana beliau terikat dengan program penuh.

Hakim membenarkan permohonan itu dan menetapkan 15 Julai untuk menyambung perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 6:15 PM