Gambar hiasan
Gambar hiasan
Amir Abd Hamid


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuat saringan ke atas 16,359 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tempoh antara 10 Jun lalu hingga semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 16,293 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Beliau berkata, seramai 66 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Semalam, seramai 1,000 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

"Mereka yang pulang itu adalah dari Iran, Indonesia, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan, Qatar, Myanmar, Australia, Belanda, India, Korea Selatan dan Jepun.

"Daripada jumlah itu, 998 individu diperintahkan untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala dua individu dibawa ke hospital," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-117 dan hari ke-32 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, semalam PDRM sudah membuat 1,230 pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah dan mendapati semua mereka yang diperintahkan menjalani arahan itu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 3:55 PM