SATU daripada bot yang ditahan. FOTO Ihsan APMM.
SATU daripada bot yang ditahan. FOTO Ihsan APMM.
Noor Hidayah Tanzizi


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot bersama 10 nelayan Indonesia dan Myanmar di lokasi berasingan sekitar perairan Perak.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, mereka ditahan kerana menceroboh perairan negara dan menangkap ikan di kawasan larangan.

Katanya, bot pertama ditahan pada kedudukan tujuh batu nautika barat laut Pulau Jarak, Lumut, pada 4 petang kelmarin dan lima nelayan Indonesia berusia 22 hingga 40 tahun ditahan.

“Mereka dikesan sepasukan anggota Kapal Maritim (KM) Malawali selepas disyaki menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

“Sementara itu, Bot Penggalang APMM pula menahan bot nelayan tempatan kelas C kerana disyaki menangkap ikan di zon larangan iaitu lapan batu nautika dari Sungai Belukang, Hutan Melintang pada 1 pagi semalam.

“Lima nelayan Myanmar berusia 33 hingga 65 tahun ditahan yang sebelum itu dikesan menunda ikan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Shahrizan berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan semua bot bersama kru dibawa ke Pusat Tahanan Vesel, Sitiawan untuk tindakan lanjut.

Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang jenayah di perairan negara ke talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 12:00 PM