GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


SELANGOR bebas daripada zon merah apabila daerah Hulu Langat merekodkan penurunan kes aktif yang mendadak sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook, Hulu Langat kini merekodkan 11 kes aktif berbanding 62 kes kelmarin dan secara keseluruhan sebanyak 629 kes dicatat di daerah itu.

Hulu Langat menjadi daerah tunggal yang berada dalam zon merah selepas Sepang memasuki zon kuning kelmarin.

"Berita baik! Kes sembuh yang tinggi menjadikan mukim Semenyih bertambah baik ke zon kuning dan mukim Cheras pula bersih dari kes aktif untuk menjadi zon hijau. Ini sekali gus mengeluarkan daerah Hulu Langat dari zon merah ke kuning.

"Dengan perkembangan positif ini, daerah di Selangor kini kembali bebas dari zon merah sejak kali terakhir iaitu 23 hari lalu. Tahniah warga Selangor!

"Patuhi normal baharu dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Jangan bagi ruang Covid-19 untuk merebak semula, kita mesti menang!," katanya.

Sementara itu, Selangor merekodkan pertambahan dua kes baharu semalam iaitu dua kes luar negara.

Selain Hulu Langat, lapan daerah lain turut berada di zon kuning dan terus menunjukkan penurunan dalam kes aktif adalah Gombak (12), Sepang (12), Kuala Langat (11), Petaling (7), Kuala Selangor (4), Sabak Bernam (3), Hulu Selangor (2) dan Klang (1).

Sehingga kini, Selangor merekodkan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,996 kes manakala 1,793 adalah kes sembuh, 63 kes aktif dan 24 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 8:33 AM