GAMBAR hiasan. FOTO Sharul Hafiz Zam
GAMBAR hiasan. FOTO Sharul Hafiz Zam
Norzamira Che Noh


SEMUA mukim di Selangor bebas daripada zon merah Covid-19 hari ini manakala di peringkat daerah hanya Hulu Langat yang masih tergolong dalam zon itu dengan 50 kes aktif di tujuh mukim.

Berdasarkan kenyataan dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di laman web amirudinshari.com, dengan bilangan kes aktif yang tidak terlalu tinggi, Hulu Langat juga berpotensi untuk keluar daripada zon merah.

"Akhirnya semakin baik situasi di Selangor apabila semua mukim sudah bersih dari zon merah. Tahniah kesemua warga Selangor!

"Disiplin anda mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kunci bagi pencapaian ini. Di tahap daerah pula, hanya Hulu Langat saja yang berada dalam Zon Merah, dengan bilangan kes aktif yang tidak keterlaluan tingginya, potensi Daerah Hulu Langat untuk keluar dari zon merah adalah baik. Bersama kita doakannya," kata kenyataan itu.

Pasukan STFC juga menekankan bahawa penduduk Selangor harus menjaga dan amalkan teras PKP iaitu penjarakan sosial dan kebersihan diri dalam usaha melandaikan keluk pandemik.

Katanya, amalan berkenaan harus konsisten dan menjadi budaya masyarakat pada setiap masa.

Sementara itu, Selangor mencatatkan sedikit penurunan jangkitan Covid-19 berbanding semalam iaitu 24 kes baharu berbanding 27 kes semalam.

Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Selangor direkodkan sebanyak 1,455 setakat hari ini.

Berdasarkan infografik yang dikongsi, beberapa daerah menghampiri zon hijau iaitu Kuala Selangor dan Hulu Selangor dengan satu kes aktif; Sabak Bernam (2); Sepang (3) dan Kuala Langat (6).

Daerah Klang pula merekodkan 16 kes aktif; Petaling (38) dan Gombak (40).

Sehingga kini, Selangor merekodkan 1,250 kes sembuh manakala 157 kes aktif serta 18 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 11:40 PM