Mayat Ibrahim Abang Rasidi,52, ditemui lemas selepas bot karam di kawasan perairan Muara Pantai Belawai,Sarikei, semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Mayat Ibrahim Abang Rasidi,52, ditemui lemas selepas bot karam di kawasan perairan Muara Pantai Belawai,Sarikei, semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


SEORANG mangsa bot nelayan tempatan yang karam di kawasan perairan Muara Pantai Belawai, Sarikei, semalam, ditemui lemas pagi tadi manakala seorang lagi masih hilang.

Mayat Ibrahim Abang Rasidi, 52, yang merupakan Pengerusi Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat dijumpai dalam keadaan terapung berhampiran lokasi bot dilaporkan karam oleh penduduk kampung pada jam 8.05 pagi.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Seorang lagi mangsa yang masih hilang ialah Elfika Ahmad, 29.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching menerima laporan dari Zon Maritim Tanjung Manis pada jam 2.20 pagi tadi bahawa sebuah bot karam bersama dua nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar ke laut bersama sekumpulan 11 bot lain.

"Bertindak atas laporan ini, kami mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada jam 2.45 pagi.

"Kejadian bot karam terbabit dilaporkan berlaku di kawasan perairan Muara Pantai Belawai," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kehilangan dua mangsa terbabit hanya disedari apabila bot yang bergerak dalam kumpulan itu selamat sampai di jeti pada 9.30 malam tadi.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau perkembangan terbaru kejadian ini diminta hubungi talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 2:28 PM