Laporan portal berita Harian Metro
Laporan portal berita Harian Metro
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

MAYAT salah seorang pemancing yang hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Rompin Sabtu lalu ditemui hari ini.

Mayat Alfa Rizuan Abd Aziz, 40, ditemui terdampar di pesisir Pantai Acheh oleh penduduk pada 1.22 tengah hari.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 16 batu nautika dari bot mereka dilaporkan karam.

“Mayat berkenaan disahkan sebagai Alfa Rizuan berdasarkan pengecaman yang dibuat isteri mangsa.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya ,” katanya hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi, bot dinaiki 10 pemancing termasuk seorang tekong karam selepas dimasuki air dipercayai mengalami kebocoran kira-kira 1.9 batu nautika dari Pulau Layak, Tanjung Gemok, Rompin.

Bagaimanapun lapan mangsa berjaya diselamatkan oleh bot pukat jerut yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Dua mangsa iaitu Alfa Rizuan dan Azwan Abu Bakar, 40, dilaporkan hilang.

Dalam pada itu Zulkarnain menasihatkan nelayan supaya peka dengan keadaan cuaca sebelum ke laut.

“Jangan abaikan pemakaian jaket keselamatan ketika melakukan kerja menangkap ikan dan sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta ketinggian ombak,” katanya.

Berita berkaitan

Dua pemancing hilang bot dinaiki karam

[UPDATE] 'Botol air, penutup tong ikan jadi penyelamat'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 9:39 PM