Alamin (kanan) bersama Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Roslan Mahayudin ketika sidang media mengenai Impak Covid-19 kepada pendaftaran Harta Intelek Negara di ibupejabat MyIPO di Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Alamin (kanan) bersama Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Roslan Mahayudin ketika sidang media mengenai Impak Covid-19 kepada pendaftaran Harta Intelek Negara di ibupejabat MyIPO di Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Rosyahaida Abdullah


USAHAWAN fesyen perlu melakukan pemberitahuan sukarela kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi setiap rekaan mereka untuk memastikan hak cipta produk dilindungi mengikut perundangan.

Pengerusi MyIPO, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya giat menguar-uarkan perkara itu seperti kepentingan cap dagangan, paten dan hak cipta masing-masing bagi mencegah sebarang aktiviti ciplak.

Menurutnya, inisiatif itu perlu disusuli dengan tindakan usahawan untuk tampil mendaftar atau memaklumkan sebarang rekaan terkini masing-masing sebelum ia ditiru mana-mana pihak.

"Kita minta usahawan untuk melakukan persiapan awal dengan mendaftar di MyIPO terlebih dulu apabila mengeluarkan sesuatu rekaan, jangan tunggu sehingga timbul masalah baru nak bertindak.

"Proses pemberitahuan sukarela untuk hak cipta rekaan juga mudah dan sangat berguna bagi mengelak pihak tertentu termasuk syarikat besar meniru rekaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Media Impak Covid-19 Kepada Pendaftaran Harta Intelek Negara di Ibu Pejabat MyIPO di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai dakwaan segelintir usahawan fesyen berhubung rekaan mereka dikatakan diciplak syarikat besar, namun tidak dapat berbuat apa-apa untuk membela perniagaan sendiri.

Dalam pada itu, mengulas perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 3,759 permohonan harta intelek diterima MyIPO secara dalam talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Katanya, ia meliputi permohonan pendaftaran untuk tiga kategori harta intelek yang dibolehkan dibuat secara dalam talian iaitu cap dagangan, paten dan reka bentuk perindustrian.

"Kita sudah membuka perkhidmatan kaunter pada pertengahan bulan (Mei) lalu, jadi permohonan juga mula diterima untuk tiga lagi kategori harta intelek yang diuruskan MyIPO iaitu hak cipta, susun atur litar bersepadu dan petunjuk geografi.

"Secara keseluruhan, sebanyak 12,917 permohonan harta intelek diterima sepanjang lima bulan pertama tahun ini meliputi 10,768 cap dagangan, 1,825 paten, 317 reka bentuk perindustrian dan tujuh petunjuk geografi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:06 PM