Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Roslan Mahayudin. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Roslan Mahayudin. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Permohonan syarikat asing antara tertinggi diterima Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) membabitkan pendaftaran cap dagangan sejak lima tahun lalu.

Ketua Pengarah MyIPO Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, sebanyak 133,775 permohonan daripada luar negara diterima pihaknya sejak 2015 sehingga tahun lalu berbanding permohonan tempatan berjumlah 114,706.

"Keseluruhan permohonan pendaftaran cap dagangan diterima berjumlah 248,481.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 178,760 permohonan diluluskan iaitu 68,547 membabitkan rakyat tempatan manakala 110,213 daripada rakyat asing," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tidak semua permohonan diterima diluluskan dan penyebabnya termasuklah tidak memenuhi syarat pendaftaran dan menerima bantahan daripada pihak lain.

"Pada tahun lalu sebanyak 42,172 permohonan diterima dengan 18,410 permohonan tempatan dan 23,762 permohonan asing di mana 29,882 telah diluluskan (didaftarkan) bagi kedua-dua kategori ini.

"Berdasarkan kepada statistik menunjukkan syarikat asing lebih banyak memohon pendaftaran cap dagangan di Malaysia berbanding tempatan kerana syarikat asing ini mempunyai produk atau jenama yang dipasarkan secara meluas di banyak negara.

"Ia bertujuan melindungi jenama mereka daripada diciplak di mana negara yang mereka pasarkan," katanya.

Menurutnya, dalam masa yang sama tahap kesedaran harta intelek dalam kalangan usahawan di negara ini dilihat semakin meningkat terutamanya usahawan muda yang tampil membuat permohonan di MyIPO.

"Mereka ini terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana (IKS)," katanya.

Ditanya bagaimana pendekatan MyIPO meningkatkan kesedaran peniaga mengenai cap dagangan, Mohd Roslan berkata, pelbagai program dan aktiviti diadakan oleh MyIPO bagi menarik orang ramai terutamanya usahawan mendaftarkan harta intelek mereka terutamanya cap dagangan, paten, hak cipta dan juga reka bentuk perindustrian.

"Antaranya menerusi media sosial seperti facebook, Instagram, twitter dan juga youtube.

"Ini termasuk juga menerusi pengiklanan di TV, radio dan juga menerusi papan iklan di jalan utama.

"Dalam suasana norma baharu ini juga, MyIPO turut aktif menganjurkan beberapa siri webinar mengenai kepentingan pendaftaran harta intelek sama ada dianjur sendiri oleh MyIPO mahupun secara kolaborasi dengan pihak lain." katanya.

Beliau turut menegaskan tiada perkataan harian yang boleh didaftarkan sebagai jenama mana-mana produk jika ianya semata- mata menunjukkan jenis, kualiti, kuantiti, kegunaan spesifik, nilai, tempat asal geografi, ciri-ciri lain barang atau perkhidmatan atau masa pengeluaran barang atau penyampaian perkhidmatan.

"Begitu juga jika ianya terdiri semata-mata nama suatu negara atau mengandungi petunjuk geografi maka tidak boleh didaftarkan.

"MyIPO hanya boleh meluluskan permohonan cap dagangan sekiranya ia bukan perkataan harian dan sebaiknya berada dalam kategori unik serta dicipta sendiri selain berbeza dengan sebarang jenama lain sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang cap dagangan di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 5:16 PM