Seramai 13 individu dikompaun kerana berada di premis makanan melebihi jam 10 malam di Jalan Pandaruan,Limbang, malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Seramai 13 individu dikompaun kerana berada di premis makanan melebihi jam 10 malam di Jalan Pandaruan,Limbang, malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


TIGA belas pelanggan sebuah restoran Jalan Pandaruan, Limbang dikompaun kerana berada di premis itu selepas tamat waktu operasi dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) malam tadi.

Individu terbabit termasuk pemilik premis berusia 18 hingga 68 tahun itu didapati melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Pasukan Pemantau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang pada 10.05 malam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan masih beroperasi walaupun melepasi jam 10 malam.

"Sehubungan itu mereka melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Limbang dan dikompaun tidak melebihi RM1,000 yang perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 6:24 PM