PENYEDUT air yang mempunyai serbuk kristal dipercayai dadah. FOTO ihsan Polis
PENYEDUT air yang mempunyai serbuk kristal dipercayai dadah. FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Limbang: Polis menahan seorang janda selepas menemui tiga tiub penyedut air yang mempunyai serbuk kristal dipercayai dadah di sebuah rumah di Kampung Pahlawan, Jalan Pandaruan, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan dalam serbuan 10.30 pagi.

Beliau berkata, polis menemui tiga tiub straw itu di dalam lubang sisa kumbahan di belakang rumah suspek.

"Ketika polis memperkenalkan diri, suspek enggan membuka pintu dan dalam masa sama polis mendengar seseorang mengepam tandas menyebabkan polis curiga.

"Pemeriksaan lanjut menemui tiga tiub straw itu di dalam lubang kumbahan namun pemeriksaan lanjut pada tubuh suspek tidak menemui sebarang bahan terlarang," katanya.

Katanya, polis kini juga sedang giat menjalankan siasatan terhadap rakan suspek untuk mengetahui pembekal dadah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 7:07 PM