MOHD Kamarudin (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas JSJN. FOTO Hairul Anuar Ab Rahim
MOHD Kamarudin (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas JSJN. FOTO Hairul Anuar Ab Rahim
Mary Victoria Dass


POLIS menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah yang menjadikan pusat hiburan sekitar bandar raya Johor Bahru sebagai sasaran sejak tiga bulan lalu hasil dua serbuan berasingan semalam.

Turut dirampas pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM287,960.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, kedua-dua lelaki berusia 30-an ditahan di Johor Jaya dan Taman Setia Indah, Johor Bahru, masing-masing.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama unit pangsapuri di Johor Jaya, 10 pagi, pihaknya menahan seorang suspek berusia 31 tahun.

“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemui pelbagai jenis dadah termasuk ekstasi (5,570 biji), serbuk ekstasi (286.8 gram); ketamin (1.346 gram); erimin 5 (600 biji) dan 200 rokok (ganja).

“Kita turut merampas sebuah kereta BMW, tiga bentuk cincin, wang tunai RM2,000 dan Dolar Singapura 200,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Kamarudin berkata, serbuan kedua dilakukan di unit pangsapuri Taman Setia Indah yang membawa kepada penemuan dadah bernilai RM22,600.

“Serbuan dilakukan pada jam 9 malam dan kami berjaya menahan suspek berusia 35 tahun.

“Pemeriksaan mendapati suspek menyimpan sejumlah dadah iaitu pil erimin 5 (250 biji) dan pil ekstasi (36 biji).

“Selain itu, kami menemui beberapa jenis dadah lain iaitu serbuk ekstasi (65.17 gram), kokain (68.20 gram), ketamin (14.40 gram) dan ganja (59.09 gram),” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan di lokasi sama pihaknya merampas sebuah Honda Accord, dua jam tangan dan wang tunai berjumlah RM3,000.

Katanya, kedua-dua suspek yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang kaitan tetapi menggunakan modus operandi sama.

“Hasil siasatan awal, kami percaya kesemua dadah yang dirampas untuk pasaran tempatan dan mereka lebih tertumpu kepada kelab malam dan pusat hiburan.

“Kebanyakan dadah ini kita tahu memang digunakan untuk berpesta, jadi mereka boleh berhibur dengan lebih lama,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod bagaimanapun mendapati kedua-dua suspek tiada rekod lampau.

“Suspek berusia 35 tahun didapati positif dadah jenis Amphetamine manakala seorang lagi bebas dadah,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 8 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 3:48 PM