SEORANG lelaki membersihkan serpihan di bangunan kediaman yang rosak. FOTO AFP
SEORANG lelaki membersihkan serpihan di bangunan kediaman yang rosak. FOTO AFP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Peperangan yang tercetus antara negara pengeluar minyak, Rusia dan Ukraine tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menaikkan harga barang di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana mungkin ada peniaga mendakwa harga minyak naik ekoran peperangan itu.

Justeru, beliau memberi amaran kepada peniaga agar tidak menjadikan peperangan itu sebagai alasan untuk menaikkan harga barang sesuka hati.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemantauan rapi untuk mengesan perbuatan tidak beretika itu.

"Saya memberi amaran keras kepada peniaga, perangkah atau tiada perang, jika sengaja menaikkan harga barang, kami akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Sijil Perisytiharan Badan Pelesenan Music Rights Sarawak Berhad (MRSB), di sini, hari ini.

Nanta mengakui, peperangan yang membabitkan negara pengeluar minyak mentah akan mempengaruhi harga barangan kerana semua urusan perniagaan memerlukan bahan api.

"Ya... memang semua aktiviti perniagaan seperti pengeluaran, pengedaran, pemasaran bergantung kepada minyak.

"Memang akan berlaku gangguan berhubung harga minyak itu tetapi kita tidak mahu, jika kesan daripada peperangan itu belum ada di negara kita (tiada kenaikan harga minyak) tetapi harga barang pula tiba-tiba naik," katanya.

Sehubungan itu katanya, KPDNHEP akan memantau rapi perkara itu bagi mengelak pengguna dibebani perbuatan peniaga yang tidak beretika.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 6:30 PM