Nor Fazlina Abdul Rahim

KELAB Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dan I Medikel Pharmacy Sdn Bhd hari ini, menyampaikan sumbangan kepada bekas wartawan BH Azman Mahmood yang kini menderita penyakit saraf, kencing manis dan buah pinggang.

Azman yang berusia 57 tahun menerima sumbangan wang tunai, barangan keperluan daripada I Medikel Pharmacy Sdn Bhd, manakala sumbangan baju raya daripada Kemudi.

Azman yang berkhidmat selama 17 tahun sebagai wartawan di BH berkata, pergerakannya kini sangat terbatas kerana penyakit yang dialami terutama saraf semakin teruk.

"Saya sudah lama menghidap penyakit kencing manis dan saraf, cuma keadaan saya semakin teruk sejak tiga tahun lalu dan doktor turut memaklumkan penyakit buah pinggang sudah berada pada tahap empat.

"Saya hanya mampu menghabiskan masa dalam bilik. Untuk ke tandas pun perlu dibantu isteri (Sakinah Mohd Noor)," katanya ketika ditemui di kediamannya di Ketereh, Kota Bharu.

CASEMIRO (tengah) ketika menentang Southampton Sabtu lalu.
CASEMIRO (tengah) ketika menentang Southampton Sabtu lalu.

Azman turut berterima kasih kepada Kemudi dan I Medikel Pharmacy Sdn Bhd yang sanggup berkunjung ke kediamannya untuk melihat keadaannya selain menyerahkan sumbangan.

Sementara itu, Pengarah Urusan I Medikel Pharmacy Sdn Bhd Hasnah Zakaria berkata, pihaknya terpanggil untuk memberi sumbangan kepada Azman bagi menghargai jasa yang pernah dilakukan sepanjang bergelar wartawan sebelum ini.

Menurutnya, ia antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam membantu mereka yang memerlukan.

Perkara yang sama dikongsikan Timbalan Presiden Kemudi Zabidi Ishar yang berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat mengenai bekas kakitangan agensi media yang pernah mendaftar dengan kelab itu.

"Kita sentiasa salurkan bantuan dan ambil berat tentang mereka. Insya-Allah, sama-sama kita bantu mereka yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 3:11 PM