GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli dan Nor Farhani Che Ad


HARGA bahan mentah terutama sayur dan ayam di Kedah naik sejak beberapa hari lalu, dipercayai akibat peningkatan permintaan daripada orang ramai.

Tinjauan di Pasar Taman Kempas, Sungai Petani, mendapati harga sayur-sayuran seperti cili besar, kacang buncis, cili padi, tomato, daun ketumbar dan daun sup naik antara RM1 hingga RM3 sekilogram.

Peniaga, Norhanaliza Hassan, 42, berkata, kebanyakan sayur berkenaan dibawa dari Cameron Highlands dan terdapat permintaan tinggi ketika ini.

"Kenaikan berlaku sejak beberapa hari lalu menyebabkan kesukaran untuk kami sebagai peniaga menjalankan perniagaan.

"Nak naikkan harga kepada pelanggan terlalu tinggi memang tidak sampai hati, jadi kami hanya naikkan sedikit supaya tidak membebankan pelanggan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Suri rumah, Norhaya Yahaya, 67, berkata, setakat ini beliau tidak merasai peningkatan sayur berkenaan dan masih membeli seperti biasa.

"Belum ada kenaikan barang yang mendadak berlaku sepanjang saya membeli barangan keperluan harian.

"Ada masa beberapa harga barang naik ada masa turun, tapi kalau naik pun tak banyak mana," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Pasar Besar Alor Setar mendapati peniaga terpaksa menaikkan harga ayam antara RM8 ke RM9.50 sekilogram sejak minggu lalu.

Peniaga Mohd Zuhair Zahir, 36, kenaikan itu berlaku berikutan pembekal memaklumkan mengalami kekurangan bekalan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Harga pembekal sentiasa meningkat sejak beberapa minggu lalu, biasanya modal yang dikeluarkan sekitar RM4 untuk sekilogram ayam, tetapi kali ini harga naik dua kali ganda kepada RM8

"Disebabkan itu kami terpaksa menaikkan harga ayam bagi mengelak menanggung kerugian besar apatah lagi keuntungan yang diperoleh juga sangat kecil berbanding sebelum ini.

Mohd Zuhair berkata, sebelum PKP fasa pertama, ayam dijual antara RM5 hingga RM6 sekilo tetapi bila masuk awal bulan ini harga sudah mula meningkat.

Pelanggan, Ahmad Khairil Mazwan, 40, berharap harga ayam kembali stabil berikutan Aidilfitri bakal disambut minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 7:20 PM