Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kenaikan mendadak harga sayuran antara RM1 hingga RM4 bagi sekilogram sejak dua minggu lalu disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu ketika musim tengkujuh.

Tinjauan di Pasar Berek 12 di sini, hari ini, mendapati harga beberapa jenis sayur dilihat mengalami kenaikan antaranya timun yang kini dijual pada harga RM4 hingga RM5 sekilogram berbanding RM3 sekilogram sebelum ini selain kubis RM6 sekilogram berbanding RM4 hingga RM5 sekilogram sebelum ini.

Harga sayuran lain yang naik ialah cili api merah dan hijau yang dijual pada harga RM15 sekilogram berbanding RM13 sekilogram sebelum ini, manakala petola dijual RM6 sekilogram berbanding RM4 sekilogram berbanding sebelum ini.

Peniaga sayur-sayuran Ramlah Awang, 66, berkata, turun naik harga sayuran adalah fenomena biasa terutama ketika mungkin tengkujuh kerana ia bergantung kepada bekalan yang diperoleh.

"Harga sayuran kini tidak menentu dan ia ditetapkan mengikut keadaan semasa.

"Namun mujurlah pelanggan memahami kenaikan beberapa harga sayuran yang dijual dan saya juga tidak berselindung soal harga dengan mereka (pelanggan) kerana faktor cuaca yang tidak menentu menyebabkan beberapa jenis sayuran yang dijual sedikit mahal berbanding biasa," katanya ketika ditemui di Pasar Berek 12, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Siti Rohani Hussin, 49, berkata, harga sayur-sayuran mula naik sejak dua minggu lalu akibat keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan sesetengah pembekal terpaksa menaikkan harga sayuran yang dijual.

"Harga terung sebelum ini adalah RM3 hingga RM4 sekilogram dan kini harganya RM6 sekilogram manakala petola pula dari RM4 kepada RM6 sekilogram dan yang paling ketara kenaikan sayur brokoli daripada RM13 kepada RM18 sekilogram serta kubis bunga daripada RM8 kepada RM16 sekilogram.

"Walaupun agak mahal, namun saya tetap membeli dan mengambil sayur-sayuran ini daripada pembekal di sekitar Kota Bharu untuk dijual bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Kebiasaannya harga sayuran akan turun naik bergantung kepada cuaca. Kalau cuaca baik, harga akan turun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 3:41 PM