GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


KANAK-KANAK perempuan berusia empat tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 12 bangunan kondominium di Ampang Utama, Ampang Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengawal keselamatan warga asing yang menemui mangsa pada 6.54 petang.

"Bapa mangsa berusia 51 tahun keluar rumah untuk membeli juadah berbuka puasa, manakala ibunya berusia 27 tahunserta mangsa berada di rumah, 5.30 petang.

"Ibu mangsa kemudian turun ke bawah untuk mengambil juadah berbuka puasa. Mangsa ditinggalkan sendirian sambil bermain telefon bersama adiknya berusia tujuh bulan di dalam bilik tanpa berkunci.

"Sebaik ibu mangsa tiba di rumah, dia mendapati pintu di koridor terbuka dan mangsa didapati jatuh ke tingkat tiga dari balkoni rumahnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, ibu mangsa membawa kanak-kanak itu ke Hospital Ampang dengan menaiki ambulans sebelum disahkan meninggal dunia 7.33 malam.

"Siasatan lanjut mendapati bapa mangsa bekerja sendiri, manakala ibunya adalah suri rumah. Mangsa adalah anak pertama daripada dua beradik.

"Bapa mangsa memang tidak pernah memohon untuk mendapatkan dokumen kelahiran kanak-kanak itu kerana tiada dokumen pernikahan sah kerana mereka yang juga warga tempatan berkahwin di Thailand," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kesalahan membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 11:15 AM