FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Baharom Bakar


MAJLIS akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya boleh diadakan di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad turut menegaskan, pelaksanaan majlis akad nikah di premis persendirian, masjid, surau atau tempat awam tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang lslam negeri.

"Arahan dan penetapan tatacara bagi pelaksanaan majlis akad nikah di negeri ini berkuat kuasa sejak Ahad lalu.

"Tujuan majlis akad nikah dilakukan di lbu Pejabat JHEAT atau Pejabat Agama Daerah (PAD) bertujuan menjaga keselamatan pasangan dan memudahkan pemantauan pematuhan tatacara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai pasangan yang bercadang mengadakan di lokasi lain, Mat Azmi berkata, pemohon hendaklah mendapatkan permit pengecualian kawalan pergerakan daripada Ketua Polis negeri atau ketua polis daerah.

Katanya, pegawai agama daerah akan menentukan tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah berdasarkan perbincangan dengan pihak pemohon.

"Bagaimanapun, JHEAT sudah membuat ketetapan kehadiran orang pada majlis akad nikah itu diminimumkan tidak melebihi sepuluh orang dewasa dan keutamaan kepada yang berkeperluan, termasuk jurunikah, pengantin lelaki dan wanita, seorang wali serta dua saksi bagi pengantin lelaki dan perempuan.

"Tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 20 minit," katanya.

Mat Azmi turut menegaskan, semua yang hadir pada majlis akad nikah itu perlu mendaftarkan nama, alamat serta nombor telefon dan diserahkan kepada pegawai agama daerah.

Beliau berkata, mereka juga perlu perlu sentiasa menggunakan pensanitasi tangan sebelum dan selepas majlis akad nikah.

"Acara lain selain daripada majlis akad nikah tidak dibenarkan diadakan.

"Pegawai agama daerah boleh menangguhkan majlis akad nikah jika mereka gagal mematuhi tatacara dikeluarkan," katanya.

Mat Azmi berkata, dokumentasi yang berkaitan majlis akad nikah seperti sijil pendaftaran dan pengeluaran surat perakuan nikah akan dikeluarkan selepas tamat tempoh PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 11:06 AM