GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Asrol Awang


Kuantan: Bakal pengantin dan rombongan dari luar Pahang yang akan memasuki Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di negeri ini untuk majlis akad nikah perlu mengemukakan keputusan kit ujian pantas (RTK) antigen (RTK-Ag) Covid-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifli Ali berkata, keputusan ujian RTK-Ag yang dilakukan pula dalam tempoh 72 jam dari tarikh majlis akad nikah.

Katanya, ujian RTK-Ag boleh dilakukan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau swasta yang diiktiraf di negeri atau tempat tinggal pemohon.

"Sebarang ketidakpatuhan dari segi tempoh masa, jenis dan hasil keputusan ujian RTK-Ag Covid-19 yang dilakukan boleh menyebabkan majlis akad nikah ditangguhkan.

"Individu yang berasal dari kawasan diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau mereka yang tersenarai sebagai Kes Yang Disyaki (PUI) dan Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) tidak dibenarkan hadir.

"Bakal pengantin dan rombongan perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri yang perlu dikemukakan kepada PAIP ketika menghadiri majlis akad nikah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kadi daerah akan menentukan giliran tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual disusun PAID dengan mengambil kira perbincangan bersama pemohon.

"Pemohon dan pihak yang terbabit pada majlis akad nikah perlu melepasi dan mematuhi langkah keselamatan yang akan dilaksanakan terutama pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, penjarakan fizikal satu meter dan menggunakan sanitasi tangan.

"Tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah tidak melebihi 20 minit

"Majlis akad nikah tidak melebihi lapan orang termasuk jurunikah, saksi, pengantin lelaki dan wanita dan wali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 3:29 PM