GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Majlis akad nikah di negeri ini hanya dibenarkan dilangsungkan di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pejabat agama daerah (PAD).

Arahan itu dikeluarkan JHEAT susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan kerajaan mulai kelmarin hingga 6 Disember depan.

Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad menjelaskan, arahan majlis akad nikah hanya di pejabat agama itu bertujuan menjaga keselamatan orang ramai dan memudahkan pemantauan pematuhan tatacara.

Jelasnya, pelaksanaan majlis akad nikah di premis persendirian, masjid, surau dan di tempat awam yang lain adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada ketua pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang lslam negeri.

"Ahli keluarga dan pasangan juga tidak dibenarkan sama sekali untuk memilih jurunikah, sebaliknya pegawai agama daerah akan menentukan jurunikah dan waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual disusun dengan mengambil kira perbincangan dengan pihak pemohon.

"Kehadiran ke majlis akad nikah juga perlu diminimumkan iaitu tidak melebihi 15 orang dewasa dan keutamaan hanya kepada yang berkeperluan termasuk seorang jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, serta dua orang saksi bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mat Azmi turut menjelaskan, tempoh pelaksanaan majlis akad nikah juga dalam tempoh 30 minit.

"Individu yang mengalami gejala seperti batuk, selesema, demam dan sesak nafas tidak dibenarkan hadir pada majlis akad nikah terutama kanak-kanak dan warga emas berisiko.

"Semua yang hadir pada majlis akad nikah hendaklah mendaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon di dalam borang khas dan perlu diserahkan kepada pegawai agama daerah sebelum serta selepas majlis akad nikah," katanya.

Mat Azmi menambah, upacara adat istiadat dalam majlis akad nikah adalah tidak dibenarkan.

Tegasnya, pegawai agama derah dan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk diberi kuasa untuk menangguhkan majlis akad nikah jika ada antara ahli keluarga serta pasangan gagal mematuhi tatacara ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 8:54 AM